Islamic Education

Belajar Islam Daripada Rasulullah SAW

Spread the love

 

 

Tadi saya hantar assignment Islamic Teacher Education Program minggu keempat. Semasa menyiapkannya, saya mendengar penjelasan Dr. Seymour Epstein bahawa dalam sekolah agama versi Yahudi, tidak wujud apa yang dinamakan sebagai ‘Jewish Pedagogy’. Saya dikehendaki menghuraikan bagaimana boleh wujud apa yang dikatakan sebagai Islamic / Prophetic Pedagogy. Semasa inilah saya terfikirkan persoalan yang hendak ditanya ini.

Kalau kita baca hadith-hadith Nabi SAW, Baginda amat-amat sedikit menggunakan bahasa Fiqh. Maksud saya, dalam perbualan baginda dengan sahabat, sukar sekali hendak bertemu dengan dialog “dalam hal ini, hukumnya ialah” atau pun sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, apakah hukumnya…” Kebanyakan ayat dialog antara Baginda dengan sahabat adalah ayat-ayat biasa di dalam ‘kelas’ seperti “hendaklah kamu, lebih baik bagi kamu, janganlah, tidak mengapa” dan yang seumpama dengannya.

Hadith-hadith ini kemudiannya menjadi rujukan Ulama untuk memformulakan Fiqh, agar agama Islam jadi sistematik, boleh diajar dan dipelajari dan ia berkembang menjadi satu gagasan ilmu yang luar biasa.

Tetapi…

Apakah implikasinya jika kita belajar agama dengan bahasa Fiqh berbanding belajar agama dengan bahasa ‘hadith, sebelum hadith menjadi dalil Fiqh”? Apa yang tercicir, apa yang bertambah, jika semasa mengajar seseorang beribadah, kita menggunakan bahasa galakan, berbanding dengan menggunakan bahasa hukum?

Ada beberapa persoalan lain menyusul, tapi saya simpan dulu dan cari-cari jawapan sendiri, dan jika tak dapat, atau ada sempena yang sesuai, saya kongsikan lagi.

Ada ke sahabat-sahabat yang pernah fikirkan hal ini? Adakah sahabat-sahabat yang boleh bantu berkongsi pendapat?