TEL

Memanfaatkan Setiap Peranti Apple di Dalam Ekosistemnya

Spread the love
Mengusik pengguna iPhone memang satu keseronokan terutamanya dengan budaya trolling yang subur di media sosial. Mereka yang setia dengan iPhone diejek sebagai pentaksub, terutamanya dengan fenomena tidak masuk akal geng yang pantang keluar model baru, sanggup beratur malam ke siang. Terasa seperti iPhone vs alam semesta.
 
Saya memakai iPhone pertama adalah pada tahun 2010 iaitu dengan model iPhone 3. Lama dahulu. Ia kembali ke rahmatullah apabila anak saya tumpahkan air ke dalam pemegang cawan di kereta yang di dalamnya saya letak iPhone. Sekarang ni pakai iPhone 6s Plus yang dibeli tahun 2015. Summer baru-baru ini ditukar skrin apabila saya terlepas iPhone berkenaan lalu jatuh terhempas ke lantai bus stop.
 
Ada banyak benda yang saya pun kecewa dengan perkembangan iPhone, terutamanya selepas Steve Jobs sudah tiada ini. Jadi bukan-bukan pula.
 
Namun saya masih setia menggunakan iPhone.
 
Sebabnya…
 
Selain iPhone, saya juga menggunakan iPad Pro bersama Apple Pencil.
 

iPAD

 
Saya dihadiahkan iPad oleh seorang dermawan pada tahun 2011. Penggunaan iPad memberi transformasi baru dalam kehidupan saya, terutamanya berkaitan pembacaan buku. Tabiat membaca buku beransur-ansur beralih daripada buku bercetak kepada buku digital, sama ada buku dalam format PDF, atau pun yang dibeli untuk Kindle. Saya ada ulas mengenai Kindle di perenggan bawah.
 
Perubahan tabiat membaca menggunakan iPad ini adalah sebab utama saya hilang kebergantungan kepada buku bercetak dan akhirnya menjurus kepada membuat keputusan mewaqafkan keseluruhan buku saya ke perpustakaan sekolah Khalifah Model School (Secondary) untuk memulakan projek Perpustakaan Profesor Muhammad.
 
Ini dikukuhkan lagi dengan kitab-kitab Arab yang saya sering rujuk, semakin banyak versi pdf boleh diperolehi. Membacanya di iPad membolehkan saya annotate, screenshot teks kitab berkenaan untuk diletakkan di dalam Keynote pembentangan kuliah Maghrib, atau ‘simply’ menulis nota di ruang-ruang kosong keliling ‘body’ utama kitab sebagaimana murid zaman dahulu menadah kitab. Cuma, saya lakukan ia secara digital, dan bebas kertas!
 
Apple Pencil bersama iPad Pro juga telah menyebabkan saya kembali menyalin nota dengan tulisan tangan selepas berpuluh tahun menaip. Ia adalah sesuatu yang secara signifikan memperbaiki memori dan kefahaman saya semula. Apabila kita menulis dengan tulisan tangan berbanding dengan menaip, kita memaksimumkan ‘functional specialization’ yang mengintegrasikan sensation, movement control, dan thinking. Banyak daerah otak yang diaktifkan apabila kita menulis, berbanding semasa menaip. Pembaca juga boleh lihat kajian-kajian di bawah tema “haptics”.
 
Selama ini, saya tahu yang menulis tangan lebih bagus. Tetapi semua stylus yang dipakai sebelum ini tidak memberi kelancaran seperti menulis dengan pensil. Sehinggalah lahirnya Apple Pencil.
 
 

MACBOOK

 
Saya juga menggunakan Macbook Retina 12 inch. Ia dibeli pada tahun 2015 menggantikan Macbook Pro pertama yang saya beli pada tahun 2011. Macbook Pro terasa terlalu berat untuk dibawa setiap hari, justeru ia dimanfaatkan di rumah sebagai laptop keluarga. Isteri saya juga telah membeli Macbook Air pada tahun 2014 dan beliau gembira menggunakannya.
 
Saya berhijrah ke Macbook selepas putus asa dengan laptop Fujitsu Made in Japan saya yang tidak ‘perform’ seperti yang saya harapkan. Bagi saya, itu adalah investment terakhir saya untuk laptop berasaskan Windows. Berhijrah daripada Windows ke Mac adalah keputusan paling saya gembira dalam sejarah menggunakan komputer.
 
Aspek yang paling saya hargai adalah kestabilan, kelasakan hardware, hampir bebas serangan virus dan untuk Macbook Retina 12 sangat ringan dan nipis, mudah dibawa. Namun saya perlu bersabar sedikit dengan kerenah Apple membuang segala port, dan adapter yang hampir wajib itu semuanya dijual berasingan. Geram. Tetapi sekali beli, tahan bertahun-tahun dan memang adaptor tersebut tidak dipakai sepanjang masa. Hanya semasa membuat pembentangan.
 

APPLE WATCH

 
Tahun ini semasa birthday, saya dihadiahkan oleh isteri tersayang Apple Watch, sesuatu yang saya tak ada perancangan langsung nak beli walaupun teruja melihat fungsinya.
 
Apabila saya buka Macbook, ia unlocked oleh Apple Watch saya kalau ia sedang dipakai di pergelangan tangan. Tidak perlu menaip password dan gembira apabila terpampang di skrin ‘Macbook is Unlocked Using Apple Watch’. Jika saya terlupa iPhone atau iPad di mana, saya guna Siri pada Apple Watch atau iPad atau Macbook, untuk bertanya “where is my iPhone?” Iphone saya akan di’ping’ lalu mengeluarkan alarm yang telinga saya dengar seolah-olah ia berkata “saya di sini, sayang! Saya di sini sayang!”
 
Haha…
 
Sesuailah untuk pelupa golongan ADHD macam saya ini.
 
Dengan Apple Watch juga , saya boleh mengawal secara remote semua adik beradiknya yang lain termasuk Apple TV. Apple Watch juga efisyen memantau kesihatan saya berkaitan degupan jantung dan tekanan darah serta menyelia kualiti tidur pengidap OSA seperti saya.
 

APPLE TV

 
Oh ya, di rumah kami juga, kami guna Apple TV, yang telah dipakai semenjak 2013. Dengan Apple TV saya menonton filem di iTunes, Netflix, Amazon Prime dan kombinasi Smart TV dan Apple TV membantu saya mengajar anak-anak di rumah dengan menggunakan teknologi Airplay. Saya boleh siar apa-apa yang ada di iPhone, iPad, Macbook, malah Apple Watch, di televisyen.
 

APP

 
Saya sudah banyak berbelanja untuk app. Apabila ada app tertentu yang sangat bagus, saya akan invest untuk dapat full version dan biasanya tidak kesal dengan pelaburan itu. Misalnya saya membayar untuk Scrivener bagi penulisan buku. Demikian juga Notability untuk mengambil nota. Begitu juga Photoshop, Affinity Photo, Mindnode dan banyak lagi. Jadi, saya tidak mahu kerugian akibat sudah berbelanja untuk apps yang berharga ribuan ringgit kerana saya memakai iPhone sudah agak lama.
 

KINDLE

 
Walaupun saya mempunya Kindle Paperwhite, saya meluangkan masa yang paling banyak membaca buku di Kindle, adalah pada iPad, kemudian Macbook, dan iPhone.
 
Kemaskini semenjak iOS 11 yang menghilangkan cahaya biru pada skrin, dan theme Sepia di dalam aplikasi Kindle itu, saya semakin selesa membaca ebook yang kini ada lebih kurang 300 buku, selain beberapa ratus buku lain di KOBO dan ribuan buku pdf di dalam iBook (kini dikenali sebagai Books). Ada sesetengah buku itu mempunyai versi audio yang saya dengar sambil duduk di dalam bas.
 

TEKNOLOGI iCLOUD

 
Satu lagi, teknologi yang paling saya hargai sekarang ini ialah iCloud. Saya menggunakan versi 200GB dengan membayar kira-kira RM12 sebulan. iCloud membolehkan saya copy sesuatu di Macbook, saya paste terus di iPhone atau iPad. Demikian juga kalau saya copy sesuatu di iPhone, saya boleh paste ia di iPad atau Macbook. Ini sangat-sangat berguna untuk saya terutamanya mengatasi beberapa fungsi yang terbatas hanya di iPhone atau iPad dan Macbook.
 
Jika saya perlu ‘scan’ dokumen dan edit di Macbook, saya scan dokumen guna iPhone atau iPad dan ia terus keluar di desktop Macbook. Sangat memudahkan dan antara fungsi baru iOS12 yang saya hargai.
 
Di Oulu ini, ada tiga orang yang melabur membeli iPad Pro dan Apple Pencil selepas teruja melihat penggunaan saya. Mereka tidak kesal dan gembira dengan pelaburan itu, mula membayangkan efisyensi yang maksimum kalau mereka juga guna iPhone. Ia adalah situasi yang sering terjadi semenjak dahulukala apabila saya menggunakan Palm Vx, lalu penggunaannya mula tersebar di kalangan pelajar Malaysia di UK dan Ireland suatu ketika dahulu.
 
Saya selalu berpesan kepada mereka, jika teruja melihat saya pakai, kena ingat, wang yang dikeluarkan untuk membeli peranti seperti itu hanya berbaloi apabila kita memanfaatkan kemampuannya secara maksimum, dan menambah baik amalan manual. Misalnya, di era Palm Vx, nota mesyuarat kami beam satu sama lain hingga kawan-kawan yang tidak ber’Palm’ naik menyampah dan ‘menuduh’ kami cuba mencetuskan kanser melalui radiasi infrared yang dipakai. Haha…
 

DI OULU

 
Pensyarah Designing Technology-enhanced Learning kami adalah pengguna produk Apple sejak zaman iPod ‘dungu’ dan iPhone pertama lagi. Tapi dia agak kecewa apabila universiti buat kerjasama dengan Microsoft dan menjadikan semua komputer universiti kini berasaskan Microsoft serta 365 Office. Selepas setahun, komputer jadi lembab, maintenance susah, dan mengganggu proses pembelajaran. Keluhan beliau lebih kepada kualiti hardware, serta platform OneNote yang banyak batasannya untuk diangkat menjadi platform standard semua pelajar universiti.
 
Beliau kurang setuju sekolah guna produk Apple secara eksklusif. Mencampurkan produk yang pelbagai berdasarkan keperluan pedagogi adalah lebih baik. Dan saya dah nampak di sekolah-sekolah Finland, bagaimana iPad digunakan secara meluas tetapi bukan secara eksklusif. Mengiringi iPad adalah Google Chromebook dan peranti yang lain juga. Ada benarnya.
 
Hampir setiap kali apabila pensyarah TEL ini berselisih dengan saya, dia akan tanya saya apa benda baru yang saya temui dalam cara menggunakan mana-mana devices Apple. Dia pernah berbisik dengan saya, “doakan Macbook Air saya rosak supaya isteri saya tak bising kalau saya beli Macbook macam awak punya! Susah betul Macbook Air nak rosak!”
 
Haha…
 
Ada tak suami-suami lain yang senasib dengan pensyarah saya?
 

PEMBENTANGAN

 
Apabila saya buat presentation dalam kelas, saya akan maksimumkan penggunaan teknologi. Kawan-kawan kelam kabut nak login di komputer bilik kuliah atau dewan untuk start presentation guna Google Doc. Masalah selalunya apabila kami pelajar antarabangsa tidak faham arahan-arahan Google di dalam bahasa Finnish, dan keyboard Finnish yang memeningkan.
 
Saya atasi hal itu dengan meletakkan link Keynote presentation saya di blog. Dengan menggunakan iCloud, saya boleh kawal presentation guna iPhone manakala kawan-kawan lain terkejut melihat Macbook saya di meja tempat saya duduk turut membuat pembentangan secara simultanious. Saya sengaja tinggalkan Macbook terbuka di meja sebab nak bagi orang teruja dan terbuka hati bertanya “macam mana you buat?” Manalah tahu kalau-kalau ada mangsa seterusnya. Haha.
 
Oh semasa di Malaysia lagi, umum tahu bagaimana saya menggunakan iPad untuk mengajar di surau termasuk membaca kitab Imam Birgivi, juga ketika berseminar dan berkhutbah Jumaat.
 

UNTUK ANAK-ANAK

 
Tetapi saya tidak galakkan ibu bapa beri anak iPhone sebab ciri keselamatan iPhone sangat ketat dan menyukarkan ibu bapa untuk menggunakan app parental control. iPhone akan menggunakan VPN dan ia diekori oleh kesulitan menggunakan setengah app seperti Google Translator yang akan menyebabkan anak kita geram.
 
Cuma, dalam iOS12 terbaru, iPhone sudah ada fungsi Screen Time sendiri yang membolehkan ibu bapa memantau iPhone iPhone anak-anak tanpa memerlukan third party app. Satu lagi perkembangan yang bagus.
 

MAKSIMUMKAN PENGGUNAAN

 
Justeru, golongan beratur panjang nak beli iPhone terbaru hanya kerana ia iPhone terbaru, fenomena tersebut tiada dalam radar saya. Saya masih rasa iPhone 6s Plus yang saya pakai ini adalah yang terbaik untuk kegunaan saya, walaupun model-model baru sudah keluar.
 
Ada pun kekurangan-kekurangan lain tu, saya sabarkan diri dan harap janganlah Apple merepek sangat. Lambat laun boleh sahaja Apple terpaksa ditinggalkan oleh pengguna setianya. Penderitaan membeli kabel untuk charge memang menyerabutkan fikiran.
 
Penggunaan teknologi kena smart dan maksimum, baru puas dan boleh buat review. Dan baru berbaloi wang yang dibelanjakan, terutamanya apabila kita bersungguh-sungguh menggunakan kemudahan di dalam peranti berkenaan untuk menjana pendapatan.
 
Sama ada anda sangat menyampah dengan iPhone lalu gigih baca sampai sini, atau kita memang best friend, saya ucapkan terima kasih.
 
‘Ustaz’ Hasrizal
Oulu Finland