KMSS

Transformasi Finland dan Dilema Kita di Sini

transformasifinland

Sedih juga saya memikirkan nasib guru di sekolah Kementerian; segala yang meresahkan mereka seperti tidak boleh dibuat apa-apa selain memendam rasa. Ramai juga yang menjadi pesimis, sinikal dan negatif, hingga kita hendak menyatakan simpati pun turut sama dimarahi dengan ungkapan “engkau tahu apa masalah kami?”

Saya doakan kesejahteraan buat semua guru.

Tetapi demi membantu secara jangka panjang, saya cuba kerah semua upaya saya untuk bersama dengan tim di sekolah kami, melakukan transformasi pendidikan, dengan usaha kaki berdiri di tanah, sekuat tangan menongkat ke langit memohon doa, bahawa sesungguhnya masa depan ummah bukan ditentukan oleh medan perang dan pilihanraya, tetapi apa yang terjadi di bilik darjah.

Pada masa yang sama, jika guru menekankan bahawa kehidupannya tidak mungkin difahami oleh yang bukan guru di sekolah sepertinya, ertinya guru mungkin menolak untuk dirinya dibantu orang lain, justeru hanya gurulah yang boleh menolong guru. Saya sarankan, guru lebih terbuka hati untuk bercerita, dengan cerita yang membantu perjuangannya difahami, agar menjadi teladan kepada orang lain, dan membuka peluang agar mereka boleh dibantu. Sejujurnya saya agak keberatan menyentuh tentang guru kerana sering dibalas dengan kemarahan, walaupun niatnya adalah untuk membantu. Saya ambil sahaja kemarahan guru berkenaan sebagai tanda tekanan sudah begitu memuncak, agar selepas dibalas dengan kemarahan, yang kekal adalah simpati, bukan geram atau kecil hati.