Sukar untuk sesiapa yang tidak tinggal di Ireland dan tidak mendalami sejarah Ireland, benar-benar faham. Memahami mengapa orang Irish hingga ke hari ini keras menolak England dan Inggeris sebagai sebuah entiti politik.

Saya sendiri, selepas beberapa tahun tinggal di Ireland, mempunyai emosi yang bergelombang apabila berada di United Kingdom. Melihat bangunan-bangunan megah warisan empayar Inggeris sudah tidak lagi dapat dipandang seperti dahulukala.

Sejarah kekejaman Inggeris terhadap orang Irish bukan sebarang.

Namun, tragedi paling menyakitkan hingga ke hari ini adalah apabila tercetusnya perang saudara sesama orang Irish, tatkala termeterainya The Anglo-Irish Treaty pada tahun 1921. Inggeris, yang terkenal dengan strategi pecah dan perintahnya, melalui perjanjian ini menawarkan kemerdekaan bersyarat ke atas Ireland. Akibatnya, ada yang menerima, dan ada yang menolak. Jika selama ini perjuangan bersifat searah, kini ia berubah jadi bersimpang siur.

Itulah yang diterokai dengan cermat di dalam filem The Wind That Shakes the Barley ini.

Ia filem yang wajib ditonton oleh kami yang tinggal di Ireland, dan kepada sahabat-sahabat yang berminat serta mengambil berat lipatan sejarah ini.

Filem Ini Menganggap Kita Sudah Tahu

Filem ini bukan dokumentari.

Ia tidak singgah lama untuk menerangkan latar belakangnya.

Penonton diandaikan sudah mengetahui keadaan politik yang sedang berlangsung.

Maka, izinkan saya membuka selapis demi selapis tirai sejarah itu untuk sahabat-sahabat yang baru ingin menonton, atau yang sudah menonton tetapi merasakan beberapa adegan sukar diikuti.

Selama berkurun-kurun lamanya, Ireland berada di bawah penjajahan Inggeris. Ramai orang Irish mahukan kemerdekaan daripada penjajahan itu. Menjelang awal abad ke-20, ketegangan mencapai tahap yang amat serius.

Antara tahun 1919 hingga 1921, perang gerila antara puak Republikan Irish yang menuntut kemerdekaan, meletus. Tentera Inggeris mahu terus mengekalkan kawalan. Perang gerila ini dikenali sebagai Irish War of Independence. Pejuang-pejuang Irish berhimpun di bawah panji Irish Republican Army, dikenali sebagai IRA.

Kerajaan Inggeris menghantar pasukan yang dikenali sebagai Black and Tans dan Auxiliaries untuk memadamkan pemberontakan ini. Memori orang Irish tebal dengan bayangan kejam kerana dua kumpulan ini teguh dirakam sebagai lambang keganasan. Mereka menceroboh rumah, menyerbu dan menyeksa, mendera, mengugut, dan membalas dendam ke atas orang awam. Kekejaman mereka bukan ingatan yang boleh pudar ditelan zaman.

Ia diwariskan.

Ia seumpama memori generasi ibu bapa dan datuk nenek kita di tanahair menempuh zaman Jepun dan komunis Bintang Tiga.

Kejam sekejam-kejamnya.

Dua Beradik dari Cork

Filem ini tidak memberi fokus kepada tokoh-tokoh politik atau ketenteraan terkenal di Dublin atau London. Ia tertumpu kepada pengalaman penduduk kampung biasa, untuk mengangkat pengalaman perang yang berlaku di akar umbi celahan hidup masyarakat.

Kisahnya berlegar di sekitar dua adik-beradik, iaitu Damien (Cillian Murphy) dan Teddy (Pádraic Delaney). Mereka tinggal di kawasan pedalaman County Cork, di selatan Ireland.

Di awal filem, Damien tidak mahu terjebak dalam perjuangan. Dia seorang doktor muda yang sedang bersiap-siap untuk berangkat ke London bagi meneruskan kerjayanya. Teddy pula sudah lama terlibat aktif dalam gerakan Republikan.

Semuanya berubah pada suatu hari, ketika tentera Inggeris dengan kejam memalukan dan menyerang beberapa orang anak muda tempatan di sebuah stesen kereta api. Tidak lama selepas itu, seorang sahabat baik Damien dibunuh ketika sedang disoal siasat.

Ketika itulah Damien sedar bahawa berpendirian neutral dan berdiam diri bukan lagi pilihan.

Dia mengikut jejak langkah abangnya, dan menyertai IRA.

Mereka Bukan Dilahirkan untuk Berperang

Kita berhenti seketika di sini.

Ramai antara kita membaca sejarah-sejarah perjuangan ummah, atau perjuangan bangsa-bangsa lain, kadangkala terlupa bahawa pejuang yang dibanggakan itu sebenarnya manusia biasa, seperti kita. Mereka tidak dilahirkan untuk berperang. Mereka tidak mengangkat senjata sejak kecil. Banyak antara mereka yang lebih rela menjadi petani, doktor, pemandu kereta api, atau guru sekolah.

Mereka dipaksa oleh keadaan.

Damien bukan watak yang menarik di dalam filem ini kerana dia mahu menjadi wira. Sebaliknya, dia menarik kerana dia tidak mahu menjadi wira. Tetapi keadaan tersepit menjerut leher, sehingga akhirnya satu-satunya jalan yang tinggal adalah memilih.

Separuh Awal Filem: Berperang dengan Inggeris

Bahagian awal filem memaparkan pertemuan-pertemuan rahsia, serangan hendap, serbuan rumah, hukuman mati, ketakutan yang menyerap masuk ke dalam setiap pintu rumah, serta balasan kejam pasukan Inggeris ke atas orang kampung.

Filem ini sengaja dibuat secara intim.

Ia tidak berlegar di Dublin atau London.

Ia tidak memperbesarkan pemimpin politik yang terkenal.

Sebaliknya, ia mengamati bagaimana petani biasa, buruh kasar, pemandu kereta api, dan pemuda kampung tiba-tiba bertukar menjadi pejuang.

Satu tema penting yang disentuh secara halus di dalam filem ini: keganasan secara perlahan-lahan mengubah semua orang yang terlibat di dalamnya. Ia sebuah pengkisahan tragis yang unik.

Damien pada mulanya seorang doktor yang penyayang, yang membenci pertumpahan darah, lama-kelamaan menjadi keras. Hati yang lembut itu bertukar keras, lebih keras daripada batu. Hati yang lembut dan rapuh tidak akan bertahan di medan perang.

Filem ini melontar soalan-soalan yang menimbulkan kegelisahan. Adakah keganasan boleh dibenarkan demi kebebasan? Apa yang terjadi apabila jiran semalam menjadi musuh esok hari? Bolehkah cita-cita revolusioner itu bertahan di tengah-tengah peperangan?

Soalan-soalan ini bukan retorik.

Ia diuji secara konkrit pada setiap watak.

Titik Pemisah: The Anglo-Irish Treaty

Perang gerila yang berlangsung selama beberapa tahun melelahkan kedua-dua belah pihak. Sokongan mula mengalami kemerosotan, dan desakan untuk menamatkannya tercetus.

Pada tahun 1921, British menawarkan satu kompromi yang dikenali sebagai Anglo-Irish Treaty.

Perjanjian ini melahirkan Irish Free State. Ia memberikan kemerdekaan separa kepada Ireland. Tetapi syaratnya, Ireland masih mesti mengakui kesetiaan kepada raja British, lebih kurang sama seperti Australia dan Canada pada masa itu. Tambahan pula, Ireland Utara dibenarkan kekal sebagai sebahagian daripada United Kingdom.

Inilah pisau halus yang dihunus oleh Inggeris.

Sebahagian Republikan Irish berkata, “Ini langkah pertama yang perlu kita ambil. Kemerdekaan penuh akan datang kemudian.”

Sebahagian yang lain pula berpendapat, “Kita berjuang untuk kemerdekaan sepenuhnya. Bukan kompromi. Bukan tunduk.”

Perselisihan inilah yang mencetuskan salah satu zaman paling tragis dalam sejarah Ireland, iaitu Irish Civil War.

Dua Beradik yang Tidak Lagi Sehala

Inilah intipati emosi filem ini.

Teddy menerima perjanjian itu. Pada hematnya, Ireland tidak mampu menanggung pertumpahan darah yang berpanjangan. Negara baharu perlu dibina, dan negara tidak boleh dibina di atas reruntuhan yang tidak henti-henti dirobek.

Damien tidak begitu.

Beliau menolak perjanjian ini.

Pada hematnya, menerima syarat Inggeris adalah pengkhianatan terhadap nyawa-nyawa yang telah hilang di medan perang. Mereka yang gugur, telah gugur untuk sesuatu yang lebih agung daripada kemerdekaan setengah jalan.

Perbezaan pendirian ini mengubah sahabat seperjuangan menjadi musuh ketenteraan. Mereka masih saling menyayangi sebagai adik-beradik. Tetapi prinsip politik telah menarik mereka ke dua hujung yang bertentangan.

Tragedi.

Perang saudara ini lebih menyakitkan daripada perang menentang Inggeris.

Kali ini, orang Irish membunuh orang Irish.

Perang saudara.

Musuh dari dalam, di dalam, menikam dari dalam, membunuh dengan kematian yang tidak menamatkan sakit dan penderitaan.

Pengakhiran yang Memilukan

Pengakhiran filem ini menghentam emosi tanpa belas.

Damien akhirnya ditangkap oleh pasukan pemerintah Irish baharu. Pemerintah yang menyokong Irish Free State. Teddy, yang kini berada di pihak pro-perjanjian, dan kerajaan baharu itu, tidak mampu menyelamatkan adiknya.

Bukan tidak mahu.

Tidak mampu.

Damien dihukum mati.

Ditembak mati sebagai pemberontak, di hadapan abangnya, yang memerintah.

Kesan emosi yang paling berat datang daripada satu kesedaran ini, iaitu konflik tersebut telah memusnahkan keluarga, persahabatan, masyarakat, dan perpaduan yang dahulunya wujud bersatu untuk bersama-sama menentang Inggeris.

Filem ini berbisik ke pendengaran kita, bahawa kemerdekaan itu datang dengan harga moral dan emosi yang amat tinggi.

Mengapa Filem Ini Penting

Filem ini disanjung kerana ia tidak menjadikan cerita ini sebagai kisah “baik melawan jahat” yang mudah. Sebaliknya, ia meneroka penjajahan, pertempuran, nasionalisme, ketidakadilan kelas, kompromi politik, dan kos psikologi sebuah revolusi.

Ia juga merakamkan satu trauma sejarah yang khusus untuk orang Irish, iaitu ingatan bahawa perjuangan kemerdekaan akhirnya berpaling ke dalam, menjadi konflik saudara.

Bagi penonton yang tidak biasa dengan sejarah Ireland, inilah pengertian paling penting yang ditinggalkan oleh filem ini:

Filem ini bukan tentang Irish melawan Inggeris.

Pada akhirnya, ia menunjukkan kepada kita bagaimana sebuah perjuangan pembebasan boleh memecahkan orang yang dahulunya berjuang bersama-sama untuk impian yang satu.

Apa yang Kita Boleh Pelajari, Sahabat?

Saya menulis renungan ini bukan sekadar untuk berkongsi ulasan sebuah filem.

Ada satu lapisan lebih dalam yang menggugat hati tatkala selesai menonton The Wind That Shakes the Barley.

Strategi “pecah dan perintah,” Inggeris bukan sesuatu yang asing dalam sejarah ummah.

Kita pernah merasainya.

Kita masih merasainya.

Apabila penjajah merasakan kawalan langsung sudah terlalu mahal untuk dikekalkan, mereka tidak lari sebagai pihak yang kalah. Mereka mundur dengan bijak, sambil meninggalkan satu racun warisan: perpecahan dalaman.

Mereka tahu, sahabat.

Mereka tahu bahawa sebuah ummat sama-sama berjuang boleh berpecah. Pecah bukan dengan buku bertemu ruas. Pecah dengan tawaran yang mengelirukan. Cawan yang boleh dibaca sebagai separuh penuh, juga separuh kosong.

Kemerdekaan, tetapi bersyarat.

Kebebasan, tetapi terikat.

Kedaulatan, tetapi dengan satu kerat tubuh yang dibawa pulang sebagai ufti.

Tawaran begini selalunya akan mencipta dua kem.

Kem pertama berkata, “Ambillah dahulu. Nanti kita perbaiki.”

Mereka realistik. Mereka praktikal. Mereka tidak salah sepenuhnya.

Kem kedua berkata, “Tidak. Itu pengkhianatan.”

Mereka idealis. Mereka berprinsip. Mereka juga tidak salah sepenuhnya.

Antara kedua-dua kem yang sama-sama benar pada bahagiannya itulah, peluru pertama dilepaskan.

Bukan oleh penjajah.

Tetapi oleh saudara sendiri.

Allah ﷻ berfirman:

وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ

“Dan janganlah kamu berbantah-bantahan, kerana nanti kamu menjadi lemah dan hilanglah kekuatanmu.”

(Al-Anfal 8: 46)

Ayat ini bukan pesanan yang abstrak. Ia adalah peta jalan yang Allah ﷻ tunjukkan kepada hamba-Nya, supaya kita mengenal bagaimana sebuah ummah, atau sebuah bangsa, boleh kehilangan kekuatannya bukan kerana musuh yang lebih kuat, tetapi kerana pertengkaran sesama sendiri.

Hilangnya kekuatan itu bukan sekelip mata. Ia perlahan-lahan. Ia mendalam.

Ia sukar dipulihkan.

Penutup

Apabila Ireland menjadi negara yang saya diami untuk baki akhir hidup ini, berdiri di Cork, di Dublin, di Galway, atau ketika saya menyeberangi sempadan menuju ke Belfast di Ireland Utara, saya tidak lagi melihat tempat-tempat ini sebagai destinasi pelancongan biasa.

Setiap batu jalan ada ceritanya.

Setiap perkampungan ada lukanya.

Dan setiap kali saya menonton The Wind That Shakes the Barley, saya teringat bahawa kita, umat Islam, juga mempunyai sejarah yang serupa. Empayar yang runtuh dengan tipu daya. Perjanjian yang memecahkan saudara. Sempadan yang dilukiskan oleh tangan asing, yang kekal menjadi pembelah hingga hari ini.

Tontonlah filem ini bukan sekadar untuk memahami Ireland.

Tontonlah ia untuk memahami diri kita sendiri.

Sejarah kita.

Wajah kita.

Hasrizal Abdul Jamil
www.hasrizal.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *