“The opposition to immigration is not primarily a product of individual economic self-interest but a reflection of broader, sociotropic concerns about national well-being.”

Hainmueller & Hopkins (2014, Annual Review of Political Science)

Pengenalan: Kebimbangan Peribadi Seorang Pendatang

Sebut sahaja Rohingya di media sosial, akaun saya dihujani kata-kata yang kesat.

Bukan hanya kesat kepada subjek yang disebut, malah kepada diri saya sendiri.

Bukan sekali, malah berulang kali. Makin lama makin tegang. Ketegangan yang seolah -olah menutup telinga dan minda daripada mempertimbangkan penjelasan atau perbincangan.

Saya menulis esei ini sebagai seorang imigran Malaysia yang menetap di Ireland. Adakah saya seorang imigran, pelarian, pendatang, pekerja, ekspat, saya tidak mahu bermain-main dengan istilah yang melarikan fokus itu. Malah ia tidak penting kerana kita akan melihat sentimen anti pendatang tidak mengambil kira status-status berkenaan dan membezakan aduan atau tindakan.

Saya cuba meneliti secara kritis naratif-naratif yang sedang dibina terhadap komuniti Rohingya di Malaysia. Ini bukan ketegangan yang perlu disembunyikan, sebaliknya ia adalah posisi yang perlu didedahkan secara terbuka, kerana ia membentuk cara saya membaca data dan cara saya memahami implikasi moral daripada apa yang data itu tunjukkan.

Keprihatinan ini bermula bukan di bilik seminar atau perpustakaan, tetapi di tengah-tengah kerja lapangan yang saya jalani sebagai sebahagian daripada kursus sosiologi dalam pendidikan di Finland, suatu ketika dahulu.



Semasa terlibat secara sukarela bersama komuniti pelarian, mendampingi orang dewasa dan kanak-kanak yang sedang mencari laluan ke pendidikan dan pekerjaan, saya mula menyedari bahawa kata-kata yang saya dengar diucapkan tentang pendatang di Ireland hari ini, adalah kata-kata yang sama, dalam susunan yang hampir serupa, yang saya dengar diucapkan oleh orang Malaysia tentang Rohingya di Malaysia. Kesedaran itu mencetuskan satu persoalan yang lebih besar: adakah ini kebetulan, atau adakah kita semua sedang menggunakan satu acuan yang sama?

Esei ini adalah usaha untuk meneroka persoalan tersebut secara sistematik. Ia meneliti pola naratif anti-pendatang merentasi lebih dua puluh negara, daripada Eropah Barat hinggalah ke Timur Tengah, Asia Selatan, dan Asia Tenggara, dengan tujuan untuk menunjukkan bahawa walaupun sasaran berubah-ubah, struktur aduan itu kekal. Lebih penting lagi, esei ini cuba membezakan antara kebimbangan yang berasaskan fakta dengan sentimen yang berasas psikologi ancaman kumpulan, dan akhirnya bertanya: apakah landasan akhlak yang sepatutnya menjadi panduan bagi komuniti Muslim, tanpa mengira dasar kerajaan atau status perjanjian antarabangsa?

Repertoir Universal: Modul-Modul Naratif yang Berulang

Apabila naratif-naratif anti-pendatang dari pelbagai negara diletakkan secara bersebelahan, sesuatu yang amat ketara muncul. Aduan-aduan tersebut tidak rawak, tidak berbeza mengikut negara atau konteks, malah ia membentuk satu repertoir yang boleh dikenal pasti dengan konsisten merentasi sempadan budaya dan geografi.

Repertoir ini terdiri daripada beberapa modul yang berulang.

Apa yang menakjubkan ialah modul-modul ini hadir secara meluas, tanpa mengira sama ada negara tuan rumah itu kaya atau miskin, demokratik atau autoritarian, beragama Islam atau Kristian. Pew Research Center (2018) dalam kajian global mereka mendapati bahawa kebimbangan tentang jenayah, beban ekonomi, dan ancaman budaya muncul sebagai tiga faktor dominan yang mempengaruhi sikap terhadap pendatang di hampir semua negara yang dikaji, walaupun komposisi demografi pendatang berbeza secara ketara antara negara tersebut.

Ini mendedahkan sesuatu yang penting: ia bukan tentang siapa yang datang. Ia tentang struktur psikologi yang sedia ada untuk menerima sesiapa sahaja sebagai ancaman.

Merentas Eropah dan Amerika: Suara yang Berlainan, Skrip yang Sama

Hujah bahawa naratif anti-pendatang adalah gejala khusus negara-negara Barat yang sekular perlu diteliti dengan lebih kritis. Bukti dari Eropah dan Amerika memperlihatkan bahawa modul-modul yang dikenal pasti di atas hadir secara sistematik dalam konteks yang berbeza-beza, walaupun sasaran pendatang berubah-ubah.

Di United Kingdom, kempen meninggalkan Kesatuan Eropah pada tahun 2016 menggunakan modul kedaulatan sempadan (”Take Back Control”) dan modul beban awam secara eksplisit. Laungan slogan bahawa £350 juta seminggu akan “kembali” kepada sistem kesihatan kebangsaan, NHS, kemudian terbukti tidak berlaku, namun ia tetap berkesan kerana ia menyentuh ketakutan yang sudah sedia ada tentang sumber awam dan identiti nasional, biar pun ia bukan sebuah kebenaran.

Di Perancis, Rassemblement National di bawah kepimpinan Marine Le Pen dan Jordan Bardella membina platform atas “priorité nationale”, modul pekerjaan dan kebajikan, digabungkan dengan modul pencairan budaya yang dibingkai dalam bahasa laïcité.

Di Germany, Alternatif für Deutschland (AfD) mengeksploitasi insiden jenayah yang melibatkan individu berasal daripada kalangan pelarian untuk memperkukuhkan modul jenayah, sementara bahasa “remigration” yang mereka pakai menyentuh modul penggantian demografi secara langsung.

Di Amerika Syarikat, retorik yang digunakan oleh pemimpin politik tertentu merangkumi hampir keseluruhan repertoir ini dalam satu ucapan sahaja. Pernyataan bahawa pendatang “meracuni darah negara” mendepankan modul biologi dan ancaman perlembagaan secara serentak. Hal yang amat signifikan, seawal kajian Hainmueller dan Hopkins (2014), mereka mendapati bahawa penentangan terhadap imigrasi di Amerika “lebih banyak mencerminkan kebimbangan sociotropic tentang kesejahteraan nasional berbanding ancaman peribadi kepada diri sendiri.”

Ini bermakna orang yang belum pernah ada pengalaman bersaing dengan seorang pendatang pun boleh menjadi antara yang paling lantang menentang kehadiran mereka.

Dalam kerangka retorik yang sama, demografi sasaran berubah mengikut konteks tempatan, tetapi skripnya tetap serupa.

Paradoks Sesama Muslim: Apabila Agama Bersama Tidak Menghalang Templat

Sekiranya naratif anti-pendatang adalah produk konflik antara agama atau peradaban, seperti yang sering didakwa dalam wacana awam negara Barat, maka kita seharusnya menjangkakan bahawa negara-negara Islam tidak akan menggunakannya terhadap pelarian Muslim. Data menunjukkan sebaliknya, dan inilah bahagian yang paling signifikan untuk diteliti.

Turki, sebuah negara dengan majoriti Muslim yang besar, menjadi tuan rumah kepada lebih 3.6 juta pelarian Syria pada kemuncaknya, menjadikan Turki sebagai negara penampung pelarian terbesar di dunia (UNHCR, 2023). Pelarian ini juga Muslim. Mereka pernah berada dalam satu khilafah. Namun Parti Zafer (Zafer Partisi) yang diasaskan pada tahun 2021 membina platform politiknya hampir sepenuhnya atas janji “Syiria akan pulang,” menggunakan terminologi Sessiz İstila atau “pencerobohan senyap” dalam kempen propaganda mereka. Rusuhan anti-Syria meletus di Kayseri pada pertengahan tahun 2024 selepas satu kes tuduhan jenayah yang tidak disabitkan pun sudah mencukupi untuk mencetuskan keganasan. Bahkan parti-parti arus perdana, termasuk parti pembangkang CHP, bersaing sesama mereka untuk berkomitmen kepada pemulangan pelarian Syria.

Pakistan menerima pelarian Afghanistan, yang berkongsi agama Islam dan, dalam kes sebahagian besar daripada mereka, etnik Pashtun. Walaupun begitu, pada Oktober 2023, Pakistan melancarkan “Pelan Pemulangan Warga Asing Haram” yang mengusir ratusan ribu orang Afghanistan yang tidak berdokumen, dengan tuduhan bahawa mereka bertanggungjawab ke atas tindakan keganasan dan jenayah, tuduhan yang oleh Human Rights Watch (2023) didapati tidak disokong oleh data jenayah yang boleh dipercayai.

Di Lebanon, situasinya lebih kompleks tetapi tidak kurang signifikan. Human Rights Watch (2020) mendokumentasikan bahawa berpuluh-puluh pihak berkuasa tempatan di Lebanon mengenakan perintah berkurung khusus terhadap warga Syria, menghalang mereka daripada bergerak bebas selepas waktu tertentu. Ini berlaku terhadap pelarian yang juga Muslim, yang melarikan diri daripada perang saudara, di sebuah negara yang secara rasminya tidak mengakui mereka berstatus pelarian.

Pola yang sama muncul di Jordan, di Mesir, dan di negara-negara Teluk. Sistem kafala yang digunakan oleh Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, dan Qatar secara berkesan mengikat pekerja migran daripada Asia Selatan dalam struktur pergantungan undang-undang yang oleh International Labour Organization (ILO, 2022) dikenali sebagai penghalang kepada hak asasi buruh yang dijamin oleh norma antarabangsa.

Kesimpulan yang tidak dapat dielakkan daripada bukti ini ialah: agama yang sama tidak menghalang acuan ini.

Seperti yang dirumuskan oleh Semyonov, Raijman, dan Gorodzeisky (2006) dalam American Sociological Review, “sentimen anti-asing meningkat seiring dengan saiz relatif populasi asing dan dalam keadaan tekanan ekonomi” tanpa mengira kesamaan budaya atau agama antara kumpulan berkenaan.

Antara Fakta dan Persepsi: Apa yang Sebenarnya Mendorong Sentimen?

Analisis yang jujur perlu mengakui bahawa sebahagian daripada modul naratif ini mengandungi kebenaran separa yang tidak boleh diabaikan. Tekanan ke atas sumber awam adalah nyata apabila sesebuah negara yang kecil menanggung populasi pelarian yang besar secara tiba-tiba.

Jordan, yang merupakan salah sebuah negara paling kekurangan air di dunia, menanggung kedua-dua populasi pelarian Syria dan Palestin yang besar.

Lebanon mengalami keruntuhan ekonomi yang berlaku serentak dengan kehadiran pelarian Syria, walaupun hubungan sebab-akibat antara keduanya jauh lebih rumit daripada yang sering didakwa dalam wacana awam.

Namun demikian, tinjauan akademik yang sistematik mendedahkan bahawa tekanan sumber yang nyata itu bukan pemacu utama sentimen anti-pendatang. Dalam tinjauan mereka yang komprehensif tentang determinan sikap terhadap imigrasi, Hainmueller dan Hopkins (2014) menyimpulkan bahawa:

“penentangan terhadap imigrasi didorong lebih banyak oleh kebimbangan sociotropic, iaitu kebimbangan tentang kesejahteraan negara secara keseluruhan, daripada kebimbangan terhadap persaingan di pasaran buruh secara peribadi.”

Dalam erti kata lain, seseorang individu yang tidak pernah bersaing dengan mana-mana pendatang untuk mendapatkan pekerjaan pun boleh membenci kehadiran mereka dengan intensiti yang sama dengan seseorang yang benar-benar terkesan secara ekonomi.

Kerangka teoritikal yang membantu memahami fenomena ini ialah Teori Ancaman Antarakumpulan (Intergroup Threat Theory) yang dikemukakan oleh Walter dan Cookie Stephan (2000). Mereka membezakan antara dua jenis ancaman yang dirasai: “ancaman realistik,” yang merangkumi persaingan pekerjaan, perumahan, dan sumber awam; dan “ancaman simbolik,” yang merangkumi persepsi bahawa nilai-nilai, kepercayaan, dan cara hidup kumpulan dominan sedang terancam. Bukti menunjukkan bahawa ancaman simbolik, iaitu perasaan bahawa identiti kita sedang diancam, lebih berkuasa dalam membentuk sikap berbanding ancaman realistik yang boleh diukur secara objektif.

Kerangka yang lebih lama tetapi masih relevan ialah “teori kedudukan kumpulan” yang dikemukakan oleh Herbert Blumer (1958) dalam American Journal of Sociology: “prasangka hadir sebagai satu perasaan bahawa kumpulan dominan berhak menduduki kedudukan yang lebih tinggi” dan bahawa kehadiran kumpulan lain dilihat sebagai ancaman kepada hak tersebut. Ini menjelaskan mengapa populasi kecil pendatang yang tidak memberi sebarang impak ekonomi yang ketara pun mampu mencetuskan reaksi yang amat kuat, seperti yang berlaku di Jepun dan Korea Selatan, dua masyarakat yang hampir homogen etnik tetapi tetap menunjukkan pola naratif yang sama apabila berhadapan dengan bilangan pendatang yang kecil.

Implikasi analitik daripada dapatan ini adalah serius.

Sentimen anti-pendatang lebih banyak didorong oleh psikologi ancaman terhadap kedudukan kumpulan berbanding fakta ekonomi yang objektif. Maka usaha untuk membetulkan sentimen tersebut melalui fakta sahaja secara konsistennya tidak mencukupi. Statistik yang menunjukkan bahawa pendatang memberi sumbangan positif kepada ekonomi jarang mengubah sikap mereka yang sudah berpegang kepada naratif ancaman, kerana naratif tersebut bukan lahir daripada fakta yang salah, ia lahir daripada persepsi yang jauh lebih dalam tentang kedudukan dan taraf kumpulan.

Templat Kosong: Bukti daripada Teori “Great Replacement

Bukti paling kuat bahawa naratif anti-pendatang adalah sebuah acuan yang boleh diisi dengan mana-mana nama, bukan satu respons kepada fakta tentang kumpulan tertentu, terdapat dalam penyebaran teori konspirasi yang dikenali dalam wacana antarabangsa sebagai Great Replacement atau “Penggantian Besar.”

Teori ini, yang dipopularkan oleh penulis Perancis Renaud Camus dalam karya Le Grand Remplacement (2011), mendakwa bahawa ada kuasa politik yang sengaja menggantikan penduduk asal Eropah dengan pendatang Muslim. Struktur konspirasi ini kemudian disesuaikan oleh gerakan-gerakan nasionalis di Amerika Syarikat, Australia, dan negara-negara lain, dengan satu penyesuaian yang amat ketara: sasarannya berubah, tetapi struktur tuduhan itu kekal serupa.

Di Amerika Syarikat, ia orang Hispanik yang “menggantikan” orang kulit putih. Di India, ia Muslim Bangladesh yang “menggantikan” orang Hindu di Assam. Di Lebanon, ia orang Syria yang “menggantikan” keseimbangan demografik yang sedia ada.

Manifestasi paling menyedihkan daripada templat ini ialah peranannya dalam beberapa tragedi keganasan antarabangsa. Manifesto penyerang di Christchurch, New Zealand (Mac 2019) yang mengorbankan 51 nyawa itu, bertajuk “The Great Replacement.”

Manifesto penyerang El Paso, Texas (Ogos 2019) yang mengorbankan 23 nyawa berbicara tentang “pencerobohan Hispanic.”

Manifesto penyerang Buffalo, New York (Mei 2022) yang mengorbankan 10 nyawa menggunakan struktur konspirasi yang sama tetapi menggantikan sasaran demografi. Tiga insiden, tiga set “mangsa pengganti” yang berbeza, satu templat konspirasi yang sama.

Apabila struktur sesebuah naratif kekal serentak dengan bertukar-tukar mangsa, ini menunjukkan bahawa naratif tersebut tidak lahir daripada ciri-ciri sebenar kumpulan yang disasarkan. Ia lahir daripada psikologi yang mencari sasaran, dan templat itu cukup fleksibel untuk menerima nama sesiapa sahaja.

Landasan Akhlak Islam: Melampaui Perjanjian dan Polisi

Ucapan Nabi Muhammad SAW ketika Fath Makkah:

عَنِ ابْنِ عُمَرَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم خَطَبَ النَّاسَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ فَقَالَ ‏”‏ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَذْهَبَ عَنْكُمْ عُبِّيَّةَ الْجَاهِلِيَّةِ وَتَعَاظُمَهَا بِآبَائِهَا فَالنَّاسُ رَجُلاَنِ رَجُلٌ بَرٌّ تَقِيٌّ كَرِيمٌ عَلَى اللَّهِ وَفَاجِرٌ شَقِيٌّ هَيِّنٌ عَلَى اللَّهِ وَالنَّاسُ بَنُو آدَمَ وَخَلَقَ اللَّهُ آدَمَ مِنْ تُرَابٍ ‏”‏ ‏.‏ قَالَ اللَّهُ ‏:‏ ‏(‏ يا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُمْ مِنْ ذَكَرٍ وَأُنْثَى وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِنْدَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ ‏)

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah telah menghilangkan daripada kalian kebanggaan jahiliyah dan kemegahan dengan nenek moyang. Maka manusia itu ada dua golongan: seorang yang bertakwa lagi berbuat baik yang mulia di sisi Allah, dan seorang yang jahat lagi celaka yang hina di sisi Allah. Dan semua manusia adalah keturunan Adam, dan Allah menciptakan Adam dari tanah. Allah Ta’ala berfirman:

‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling kenal-mengenali. Sesungguhnya yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.’ (Surah Al-Hujurat 49:13)”

Perbincangan yang saya kongsi setakat ini adalah bersandar kepada kerangka sains sosial dan psikologi antara kumpulan.

Sebagai umat Islam, bagaimana kerangka al-Quran, al-Sunnah, dan Sirah Nabawiyyah sepatutnya menjadikan kita berbeza? Kerangka ini, berlainan daripada perjanjian antarabangsa yang boleh ditandatangani dan boleh diingkari, dan berbeza daripada polisi kerajaan yang boleh berubah mengikut angin politik, menetapkan satu baseline akhlak yang tidak bergantung kepada faktor-faktor luaran tersebut.

Asas al-Quran: Digniti yang Tidak Bersyarat

Allah ﷻ berfirman dalam surah Al-Hujurat:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا ۚ إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّهِ أَتْقَاكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya.”

(Al-Hujurat 49: 13)

Ayat ini membina satu asas epistemologi yang berbeza secara fundamental daripada kerangka psikologi ancaman kumpulan. Dalam kerangka duniawi, kemuliaan seseorang ditentukan oleh kewarganegaraan, oleh etnik, oleh kumpulan yang diwakilinya. Dalam kerangka al-Quran, kemuliaan itu pada takwa, suatu kualiti dalaman yang tidak boleh dinilai berdasarkan pasport atau status pendatang. Kepelbagaian bangsa dan suku bukan dianggap sebagai ancaman, sebaliknya ia ditetapkan sebagai tujuan, iaitu untuk saling mengenal antara satu sama lain.

Lebih jauh daripada itu, Allah ﷻ berfirman dalam surah Al-Tawbah:

وَإِنْ أَحَدٌ مِّنَ الْمُشْرِكِينَ اسْتَجَارَكَ فَأَجِرْهُ حَتَّىٰ يَسْمَعَ كَلَامَ اللَّهِ ثُمَّ أَبْلِغْهُ مَأْمَنَهُ

“Dan jika seseorang daripada kalangan musyrikin memohon perlindungan kepadamu, maka lindungilah dia sehingga dia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkan dia ke tempat yang aman baginya.”

(Al-Tawbah 9: 6)

Apa yang perlu ditekankan ialah konteks ayat ini. Ia tidak diturunkan berkenaan pelarian Muslim. Ia diturunkan berkenaan seseorang yang berbeza akidah, yang memohon perlindungan. Allah ﷻ memerintahkan perlindungan diberikan. Jika demikian perintah-Nya terhadap mereka yang berbeza akidah, maka tuntutan akhlak terhadap pelarian yang berkongsi syahadah adalah lebih besar, bukan lebih kecil.

Pelajaran Sirah: Dua Model yang Berbeza

Sirah Nabawiyyah menawarkan dua contoh yang relevan dan amat kuat untuk konteks ini.

Contoh pertama ialah Hijrah ke Habsyah.

Ketika tekanan kaum Quraisy terhadap komuniti Muslim awal menjadi tidak tertanggung, Rasulullah ﷺ mengizinkan sebahagian sahabat berhijrah ke Habsyah, sebuah kerajaan di Afrika Timur yang diperintah oleh Najashi, seorang raja Kristian. Tiada perjanjian sebelumnya antara komuniti Muslim dengan Habsyah. Tiada kewajipan undang-undang yang mengikat raja tersebut. Namun Al-Najashi, setelah mendengar Ja’far bin Abi Talib menyampaikan surah Maryam dalam majlisnya, memilih untuk memberikan perlindungan dan menolak desakan utusan Quraisy yang meminta beliau menghalau para pelarian. Beliau bertindak berdasarkan akhlak dan keadilan, tanpa bergantung kepada kerangka undang-undang luaran mana-mana.

Kisah ini mempunyai relevansi yang mendalam untuk konteks semasa. Sebuah kerajaan bukan Islam memberikan perlindungan kepada pelarian Muslim berdasarkan pertimbangan keadilan. Ini menjadi contoh sejarah bahawa perlindungan terhadap yang teraniaya adalah nilai universal yang melampaui batasan agama dan perjanjian formal.

Contoh kedua ialah model Ansar dan Muhajirin setelah Hijrah ke Madinah.

Allah ﷻ mengabadikan akhlak Ansar dalam surah Al-Hashr:

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

“Dan orang-orang yang telah mendiami negeri Madinah dan beriman sebelum kedatangan mereka (Muhajirin), mereka mencintai orang yang berhijrah kepada mereka, dan mereka tidak menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa yang diberikan kepada Muhajirin. Mereka mengutamakan (Muhajirin) atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka berada dalam keadaan kesempitan. Dan sesiapa yang terpelihara daripada sifat bakhil dirinya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

(Al-Hashr 59: 9)

Ayat ini secara nyata menyebut keadaan khasasah, iaitu kesempitan hidup, sebagai konteks di mana ithar, pengutamaan orang lain, dilakukan. Ini menolak hujah bahawa tekanan ekonomi membenarkan kompromi akhlak. Dalam kerangka al-Quran, tekanan ekonomi bukan alasan untuk mengurangkan tanggungjawab moral, ia adalah konteks di mana akhlak diuji dan dibuktikan.

Asas al-Sunnah: Satu Tubuh yang Merasai

Nu’man bin Bashir r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

‏”‏ مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى ‏”

“Perumpamaan orang-orang yang beriman dalam hal kasih sayang, belas kasihan, dan simpati antara sesama mereka adalah seperti satu tubuh. Apabila satu anggota tubuh itu sakit, maka seluruh tubuh akan merasakan sakitnya, tidak dapat tidur dan demam.”

(Riwayat Muslim, no. 2586)

Metafora satu tubuh ini bukan sekadar ungkapan retorik. Ia adalah pernyataan epistemologi tentang cara mukmin seharusnya memproses penderitaan orang lain. Sistem imun satu tubuh tidak memilih untuk tidak bertindak balas terhadap jangkitan kerana ia berlaku di bahagian badan yang jauh. Ia bertindak balas kerana ia satu tubuh. Jika Rohingya adalah sebahagian daripada tubuh itu, maka ketidakupayaan kita untuk merasakan penderitaan mereka adalah simptom tidak sihatnya tubuh tersebut, bukan bukti bahawa kita tidak bertanggungjawab terhadap keadaan mereka.

Refleksi Penutup: Akhlak yang Tidak Menunggu Perjanjian

Malaysia belum menandatangani Konvensyen Pelarian 1951.

Ini adalah fakta yang tidak dapat dipertikaikan, dan ia mempunyai implikasi undang-undang yang nyata bagi dasar negara.

Ada ruang yang sah untuk memperdebatkan kerangka dasar yang sesuai, mekanisme pengurusan pelarian yang realistik, dan tanggungjawab serantau yang perlu dikongsi secara lebih adil. Perbincangan dasar yang serius dan jujur itu perlu diadakan, dan ia perlu diadakan berasaskan bukti, bukan berasaskan templat naratif yang, seperti yang telah kita lihat, tidak mencerminkan realiti tentang individu yang disasarkan.

Namun ada perbezaan yang fundamental antara perbincangan dasar yang serius dengan penyebaran naratif kebencian. Ada perbezaan antara sebuah kerajaan yang berkata “kami perlu menilai semula kapasiti sokongan kami” dengan seorang individu Muslim yang menyebarkan kata-kata amarah tentang komuniti berkenaan.

Perbezaan ini bukan hanya perbezaan retorik.

Ia adalah perbezaan akhlak.

Yang lebih penting untuk difahami ialah ini: akhlak kita sebagai individu Muslim tidak bergantung kepada penandatanganan konvensyen antarabangsa oleh kerajaan. Ia tidak bergantung kepada dasar kerajaan yang boleh berubah mengikut pilihanraya. Ia bergantung kepada al-Quran yang kita akui sebagai panduan, kepada Sunnah yang kita dakwa sebagai contoh ikutan, dan kepada Sirah yang kita ceritakan dengan penuh bangga dalam majlis-majlis ilmu.

Pertanyaan yang berbaki ialah: apakah yang kita lakukan dengan kerangka tersebut apabila ia menghendaki sesuatu yang tidak mudah daripada kita?

Dalam konteks inilah esei ini berakhir, bukan dengan jawapan yang bulat, tetapi dengan satu pendirian yang boleh diuji: templat kebencian itu bukan warisan budaya kita, bukan juga keperluan psikologi yang tidak boleh dielakkan. Ia adalah satu pilihan. Dan sebagai Muslim yang mendakwa menerima panduan wahyu, kita mempunyai kerangka yang lebih teguh daripada templat itu untuk membuat pilihan yang berbeza.

Permulaan yang paling kecil sekali pun sudah bermakna:

Sokongan kecil saya dari jauh adalah pada memberi dorongan dan latihan, kepada guru-guru sukarelawan yang bertungkus lumus memberi pendidikan bukan sahaja kepada anak-anak Rohingya, tetapi juga kanak-kanak lain di Malaysia yang menjadi mangsa latar belakang yang bukan pilihan mereka. Melihat kepada krisis akses pendidikan kanak-kanak ini, kita tidak dapat lari daripada memikirkan impak kelemahan sistem pendidikan kita, apabila rakyat yang memperoleh akses penuh pun semakin bergelumang dengan pelbagai konflik sosial, ekonomi, politik dan agama.

Moga Allah SWT memandang kita dengan kasih sayang-Nya untuk membuka ruang pendidikan, sebagai jalan islah.

Hasrizal Abdul Jamil
Pengarah Pendidikan Yayasan Pendidikan Khalifah
www.hasrizal.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *