Saya simpan sehelai kertas ini sudah bertahun lamanya. Jadual waktu kelas anak kami, Tahun 3, di sebuah sekolah di Oulu, Finland. Tahun persekolahan 2018 hingga 2019.

Setiap kali saya pandang semula, ada sesuatu yang menggigit hati saya perlahan-lahan.

Bukan kerana apa yang ada di dalamnya. Tetapi kerana apa yang tiada di dalamnya.

Lihatlah kotak-kotak kosong itu.

Hari Isnin, kelas tamat pada pukul 1.15 petang. Hari Jumaat, anak saya sudah pulang sebelum pukul 12.30. Ada ruang lompang antara satu waktu dengan waktu yang lain, jeda yang sengaja dibiarkan terbuka. Subjeknya pun boleh dibilang dengan jari sebelah tangan: Bahasa Inggeris, Bahasa Finland, Matematik, Seni, Kraftangan, Muzik, Pendidikan Jasmani, dan satu slot Agama atau Etika.

Itu sahaja.

Untuk seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun.

Sahabat sekalian, warga pendidik, dan ibu bapa sekalian;

Izinkan saya berkongsi sesuatu yang merisaukan hati ini sebagai seorang ayah, dan sebagai seorang penyelidik yang memberi hidupnya kepada dunia pendidikan.

Yang Kosong Itu Bukan Kekosongan

Kita yang dibesarkan dalam sistem pendidikan yang lain mungkin memandang jadual ini dengan rasa hairan. Di mana subjek lain? Mengapa banyak sangat masa kosong? Tidakkah anak-anak ini sedang “membuang masa”?

Itulah keresahan kita.

Keresahan yang sebenarnya perlu kita nilai semula.

Di Finland, ruang kosong itu bukan kekosongan. Ia adalah ruang untuk kanak-kanak itu bernafas, bermain, mencerna kehidupan, dan menjadi kanak-kanak. Slot Seni bukan diberi sejam tergesa-gesa, tetapi dua jam penuh pada hari Rabu. Kraftangan juga begitu pada hari Selasa. Bukan kerana mereka kekurangan idea untuk diisi. Tetapi kerana mereka memilih untuk tidak mengisi.

Mereka faham satu prinsip yang kita sering lupa: less is more.

Sedikit yang dikuasai jauh lebih bernilai dan bermakna, berbanding banyak yang sekadar dilintasi.

Apa yang Terjadi Kepada Cara Kita Mengajar Anak-Anak?

Apa yang sebenarnya telah terjadi kepada cara kita melihat pendidikan awal kanak-kanak?

Ada benarnya bahawa kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Niat kita murni. Kita mahu mereka bersedia, mahu mereka tidak ketinggalan, mahu mereka memiliki segala kelebihan yang mungkin ada.

Maka kita lambakkan. Lebih banyak subjek. Lebih tebal buku teks. Lebih panjang silibus. Lebih awal mereka diajar membaca, mengira, menghafal, sebelum jiwa kecil mereka benar-benar bersedia.

Tetapi di sinilah ironinya yang pahit.

Apabila terlalu banyak dicurahkan, sedikit sahaja yang sebenarnya meresap.

Bayangkan secawan tanah yang baru disemai benih. Jika kita siram dengan secawan air, ia hidup. Jika kita curahkan setimba, benih itu lemas. Akarnya reput sebelum sempat mencengkam tanah.

Begitulah asas pembelajaran kanak-kanak. Ia bukan bekas kosong untuk dipenuhi sebanyak mungkin. Ia benih yang perlu ruang, perlu masa, perlu kesabaran untuk berakar.

Jangan berghairah mencari pucuk, tiada akar yang mengizinkan tumbuh.

Asas yang Goyah Tidak Pernah Pulih Sepenuhnya

Inilah yang paling saya bimbangkan, dan inilah implikasi yang sering kita pandang ringan.

Apabila kita lambakkan terlalu banyak kandungan pembelajaran pada tahun-tahun awal persekolahan, sebahagian kanak-kanak itu mungkin nampak seperti “tahu” banyak perkara. Mereka boleh menyebut, boleh menjawab, boleh lulus ujian. Tetapi di bawah permukaan itu, asasnya cetek. Mereka belajar untuk lulus, bukan untuk faham. Mereka mengumpul jawapan, tetapi semakin gersang membina soalan.

Soalan yang menunjukkan terjadinya fikir dan pemerhatian.

Fitrah anak-anak yang berisiko mati sebaik sahaja mereka memulakan persekolahan.

Dan asas yang goyah pada usia tujuh, lapan, sembilan tahun, tidak hilang begitu sahaja apabila mereka membesar.

Ia mengikut. Ia menjadi keraguan yang tidak bernama apabila mereka berhadapan dengan konsep yang lebih tinggi. Ia menjadi rasa “saya memang tidak pandai Matematik,” padahal sebenarnya Matematik tidak pernah diberi peluang untuk berakar dalam diri mereka sejak awal. Ia menjadi luka senyap dalam hubungan seorang manusia dengan ilmu itu sendiri, luka yang boleh terbawa-bawa sepanjang hayat.

Kita fikir kita memberi mereka lebih banyak. Hakikatnya, kita merampas daripada mereka perkara yang paling asas: kelapangan ruang untuk belajar dengan betul.

Tuhan Pun Tidak Mencurahkan Sekali Gus

Sahabat,

Khususnya kaum muslimin sekalian,

Ada satu hal yang sering saya renungkan dalam soal ini.

Al-Quran, kitab yang menjadi panduan jutaan manusia, panduan yang mengubah wajah tamadun, ia tidak diturunkan sekali gus. Allah ﷻ yang Maha Berkuasa untuk menurunkannya dalam satu malam, memilih untuk menurunkannya secara beransur-ansur selama dua puluh tiga tahun.

Mengapa?

وَقُرْآنًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَىٰ مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنزِيلًا

“Dan Al-Quran itu Kami bahagi-bahagikan supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan perlahan dan tenang; dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”

(Al-Isra’ 17: 106)

Ala mukth (مُكْثٍ).

Dengan perlahan.

Dengan jeda.

Dengan ruang untuk dicerna, dihayati, dihidupkan dalam amal sebelum datang yang berikutnya.

Itu bukan kelemahan dalam penyampaian.

Itu kebijaksanaan dalam pendidikan.

Jika Allah ﷻ sendiri, dalam mendidik para sahabat yang terbaik dalam sejarah manusia, memilih jalan yang beransur dan berlapang, siapakah kita untuk menyangka bahawa anak-anak kecil kita perlu dilambakkan dengan segala-galanya, segera, sekali gus?

Dan ingatlah satu prinsip yang kita sering laungkan tetapi jarang kita amalkan dalam mendidik anak-anak:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sekadar kesanggupannya.”

(Al-Baqarah 2: 286)

Jika Allah ﷻ yang Maha Pengasih tidak membebani jiwa melebihi kemampuannya, mengapa kita sanggup membebani jiwa-jiwa kecil yang baru hendak mengenal dunia?

Yang Lambat Itu Sebenarnya Lebih Pantas

Saya tahu, ini sukar untuk diterima dalam dunia yang serba berlumba. Kita takut anak kita ketinggalan. Kita lihat anak jiran sudah membaca, sudah menghafal, sudah menyertai sepuluh kelas tambahan, dan hati kita berdebar.

Saya faham.

Saya juga seorang ayah.

Saya juga pernah merasai debar itu.

Tetapi mari kita berfikir dengan tenang.

Anak-anak Finland, yang jadualnya nampak begitu “kosong,” yang baru mula belajar membaca secara formal pada usia tujuh tahun, yang pulang awal dan diberi ruang untuk bermain, mereka inilah yang konsisten berada di kalangan terbaik dunia dalam pencapaian pendidikan.

Yang lambat itu, rupanya, lebih pantas. Yang sedikit itu, rupanya, lebih banyak.

Kerana asas yang kukuh membawa seorang anak lebih jauh daripada timbunan maklumat yang tidak berakar.

Sehelai Kertas, Satu Pelajaran

Saya simpan jadual waktu ini bukan kerana ia istimewa pada zahirnya. Ia hanya sehelai kertas dengan garisan dan kotak berwarna.

Tetapi ia mengajar saya sesuatu yang saya bawa sehingga hari ini. Bahawa mendidik anak bukan perlumbaan untuk mengisi mereka setepu mungkin, secepat mungkin. Ia adalah amanah untuk memberi mereka ruang, masa, dan ketenangan untuk berakar.

Kotak-kotak kosong dalam jadual itu bukan kemunduran.

Ia kebijaksanaan.

Mungkin sudah tiba masanya kita berhenti bertanya, “cukupkah apa yang kita ajar kepada anak-anak kita?”

Sebaliknya mula bertanya, “adakah yang sedikit itu telah benar-benar berakar dalam jiwa mereka?”

Bukan untuk sehari dua.

Tetapi untuk bekalan sepanjang hayat mereka.

Hasrizal Abdul Jamil
www.hasrizal.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *