Podcast Hasrizal

Dilarang Mengikuti Ceramah Hasrizal

Spread the love
https://anchor.fm/s/1e08f4a8/podcast/rss

Summary

Sekitar tahun 2011, bermula era saya berhadapan dengan mahasiswa dan mahasiswi menerima larangan mengikuti ceramah saya, atau jika menjadi AJK maka tidak dibenarkan menjemput saya sebagai penceramah. Larangan itu tidak praktikal di era maklumat berada di hujung jari tanpa sempadan. Malah larangan seumpama itu turut pernah dibuat oleh kaum musyrikin Mekah ke atas Tufail ibn ‘Amr r.a. yang diberi nasihat agar tidak mendekati seorang lelaki bernama Muhammad kerana beliau berbahaya.

Larangan itu tidak berkesan kerana Tufail ibn ‘Amr orang pintar. Beliau tahu membezakan mana ahli sihir dan mana bukan ahli sihir, siapa gila dan siapa siuman.

Pemikiran yang sama turut mengundang ramai Irish datang ke masjid untuk bersoal jawab tentang Islam tanpa rasa takut walaupun media ghairah memburuk-burukkan agama ini setiap masa. Orang berpendidikan dan berakal, boleh membuat pendirian sendiri, tanpa perlu ditekan-tekan mana yang boleh dibaca mana yang tidak, mana yang boleh didengar, mana yang perlu disekat.

Di kala itu, apabila mahasiswa menyorok-nyorok berjumpa dengan saya secara senyap kerana bimbang dimarah oleh pihak atasan, saya menegur kebimbangan mereka. Tiada siapa boleh marah-marah kita kecuali kita yang mengizinkan diri kita ditekan dan dimarah. Semasa saya di usia mereka, jika penceramah merepek, saya tidak akan biarkan sahaja mereka terlepas. Saya akan tanya dan pertikai.

Apabila khalayak mendiamkan diri, di situlah bermulanya keberanian penceramah merepek-repek tanpa khuatir disanggah kemerepekan mereka.

Sehinggalah sampai ke era, tiada siapa lagi yang melarang sesiapa mendengar apa. Sebaliknya dalam kebebasan mendengar, pendengar sendiri hilang keinginan mendengar kerana lebih selesa mendengar apa yang mereka mahu, bukan lagi apa yang mereka perlu.

Penceramah merepek makin merepek. Pengisian yang sifatnya mencabar status quo sukar mencapai objektif kerana pengisian yang diutamakan adalah yang menghiburkan, memberi kegembiraan dan memenuhi keinginan kita sendiri.

Jalan menyingkap kebaikan di era kebaikan diselaputi asap seperti kata Nabi sallallāh ‘alayhi wa sallam kepada Huzaifah r.a. tidak lagi ramai yang ingin menempuhnya kerana ia jalan yang tidak selesa lagi memerlukan kesabaran dan kecekalan.

Justeru, secara peribadi, terima kasih saya ucapkan kepada setiap kalian yang sudi mendengar, menonton, membaca, dan mempertimbangkan pandangan-pandangan yang saya kongsi selama ini. Kesudian itu mampu melawan tembok sekatan dan larangan. Paling utama, ia menjadikan kalian bersabar lagi pemaaf terhadap kekurangan saya dalam penyampaian.

Hasrizal

Naas, Ireland

Send in a voice message: https://anchor.fm/hasrizal/message